2 BERADIK DITEMUI MATI TERGANTUNG DI ASRAMA PEKERJA DI MIRI, SARAWAK

on Jumaat, 20 Januari 2012


MIRI 19 Jan. – Dua beradik warga Indonesia ditemui mati tergantung masing-masing pada sebatang pokok dan dalam sebuah bilik asrama pekerja di sebuah kilang di Kuala Baram dekat sini, malam tadi dan pagi ini.

Kuatman Sukirman, 23, ditemui mati tergantung dengan menggunakan kain sarung pada pukul 7 pagi selepas adiknya, Suparmanto, 20, terlebih dulu ditemui tergantung di dalam bilik asrama pada pukul 9 malam tadi.

Kedua-dua beradik tersebut bekerja di kilang yang sama sejak lebih setahun lalu dipercayai bertindak sedemikian akibat dibebani masalah hutang berdasarkan nota tulisan tangan yang ditinggalkan di bilik mangsa.

Sementara itu, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.15 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, semua penghuni asrama pekerja kilang terbabit sedang tidur sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat Kuatman yang tergantung di dahan sebatang pokok tidak jauh dari kediaman berkenaan.


Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat manakala Konsulat Indonesia serta keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes kematian mengejut.

{ 0 komen... baca komen di bawah atau tambah komen }

Catat Ulasan

 
© Portal Berita Malaysia 2011
D.I.Y Themes ByBelajar SEO